WASHINGTON: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata pihaknya menerima laporan kemunculan virus selesema babi (H1N1) jenis teruk yang terus menyerang paru-paru menyebabkan penghidapnya sakit tenat serta perlu menjalani rawatan mahal di hospital.
Virus jenis teruk itu turut dilaporkan boleh menyebabkan pesakit muda yang tidak mempunyai masalah kesihatan jatuh tenat.
WHO ketika melaporkan perkembangan terkini wabak selesema babi menyatakan, sehingga 15 peratus pesakit dimasukkan ke hospital dengan virus H1N1 baru itu memerlukan penjagaan rapi, sekali gus meningkatkan lagi bebanan kepada sistem penjagaan kesihatan sesebuah negara.
“Pada musim dingin di Hemisfera Selatan, beberapa negara mengakui keperluan menambah unit penjagaan rapi menjadi beban terbesar dalam perkhidmatan kesihatan.
“Langkah persediaan mesti berupaya memenuhi tuntutan yang semakin meningkat terhadap unit penjagaan rapi selain memastikan ia mencukupi jika jumlah penghidap bertambah secara mendadak,” kata WHO dalam laporannya.
