Posted by: epulklate on: March 10, 2011
Syarikat automotif India mahu keluar Nano di Malaysia
SYARIKAT automotif terbesar India, Tata Motors berminat bekerjasama dengan PROTON Holdings Bhd untuk mengeluarkan kereta rakyat di Malaysia sama seperti model Nano keluarannya yang kini adalah kereta paling murah di dunia.
Minat itu dinyatakan Pengerusi Tata Group, Ratan Tata kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam satu pertemuan di Mumbai semalam.
“(Ratan) Tata sekali lagi menyatakan minat untuk bekerjasama dengan PROTON. Perbincangan mengenai usaha sama untuk mengeluarkan kereta (antara kedua-dua syarikat itu) pernah dilakukan kira-kira tujuh tahun lalu, tetapi tidak ada keputusan.
““Kereta ini (Nano) sesuai dan kita boleh kaji sama ada boleh membawanya masuk (ke Malaysia) atau (Tata) mengadakan kerjasama dengan PROTON bagi mengeluarkan kereta rakyat berharga dalam lingkungan RM20,000,” kata Muhyiddin Yassin kepada wartawan Malaysia.
Tata Motors, iaitu anak syarikat automotif Tata Group pada 2009 mengejutkan dunia apabila juruteranya mengeluarkan Nano, kereta empat tempat duduk paling murah, berharga satu lakh atau 100,000 rupee India (kira-kira RM7,000), yang dipanggilnya ‘kereta rakyat’.
Tata Group adalah kumpulan milik persendirian terbesar di India. Dalam tahun kewangan 2009/2010, kumpulan dengan 114 anak syarikat dan menggajikan 396,000 kakitangan itu meraih pendapatan AS$67.4 bilion. (sumber berita harian)